'Kem Generasi Y' bina keyakinan para belia
Oleh Yusrin Junaidi
Antara beliawan yang mengikuti kem itu.
BANDAR SERI BEGAWAN, Jumaat - Bank Islam Brunei Darussalam melalui Tanggungjawab Korporat Sosial dan kerjasama dengan beberapa organisasi tempatan di Negara Brunei Darussalam melancarkan program "Kem Generasi Y".
Acara berkenaan disertai oleh 100 orang belia tempatan berumur 12 hingga 16 tahun yang diadakan di Taman Rekreasi Peranginan Kg Parit di Pangkalan Batu selama 3 hari bermula pada hari ini.
Program ini adalah salah satu aktiviti dengan kerjasama BIBD dengan beberapa organisasi tempatan bagi para belia sempena cuti sekolah yang bertujuan untuk mempertingkatkan keyakinan diri para belia agar menjadi seseorang yang berwibawa di masa hadapan.
Acara berkenaan bermula dengan bacaan Surah al-Fatihah bagi memberkati aktiviti-aktiviti yang diungkayahkan. Majlis diteruskan dengan ucapan dari Pemangku Pengarah Urusan BIBD, Javed Ahmad.
Menurut beliau tujuan utama Kem Generasi Y diadakan, "Kem generasi Y ini adalah untuk menggalakkan para belia untuk mencuba ketahanan mereka dalam mengembangkan sifat kepimpinan, kerjasama, kecekapan, dan kemahiran ketahanan."
Antara aktiviti-aktiviti itu ialah bengkel berpasukan, dialog, permainan ketahanan, malam penganugerahan dan lain-lain.
BIBD juga turut mengucapkan ribuan terima kasih kepada rakan kongsi penaja iaitu dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Majlis Ugama Islam Brunei Darussalam, Radio Televisyen Brunei, Borneo Bulletin, Media Permata dan juga Brunei Times serta Aewon dan Syarikat Sihat Sdn Bhd.